Uthman El Muhammady vs Anwar Ibrahim kupasan oleh N Aziz.

Wednesday, January 19, 2011

Oleh: Nik Abdul Aziz Hj. Nik Hassan

Analisa Penulis  Terhadap Komentar Ustaz Muhammad Uthman El Muhammady ke atas Kertas Kerja Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibentangkan di London School of Economics pada 18 Mac 2010 yang Bertajuk “Religion and Pluralisme in a Divided World”.

 [(Analisa ini penulis kendalikan berasaskan kepada sebuah risalah yang tidak dicetak berjudul MUQADDIMAH TAKWIL AL-QURANUL HAKIM.  Karangan Haji Nik Mohd Salleh Musa (1920 – 1972).  Risalah ini diedarkan kepada sebahagian besar murid-murid pengarang itu dan kepada orang-orang tertentu di Negeri Kelantan dalam penghujung tahun 1960an.  Haji Nik Mohd Salleh ialah anak kepada bekas Mufti Negeri Kelantan, Haji Wan Musa bin Haji Abdul Samad.  Beliau mendapat pendidikan agama di pondok ayahandanya di Kota Bharu, Kelantan, di Mekah dan di India.  Antara guru yang paling beliau minat belajar ialah Maulana Ubaidillah Al Sindhi (seorang ulama yang otoritas dalam Tariq Shah Waliullah Al Dihlawi].

Tulisan Anwar Ibrahim yang dibentangkan di London School of Economics (LSE), London pada keseluruhannya melambangkan beliau seorang pemimpin politik, aktivis dan dai yang realis.  Memang Anwar dahulu dalam ABIM dan Anwar kini sebagai peneraju utama PKR mempunyai beberapa kelainan.  Kelainan ini wujud selepas beliau mengalami liku-liku perjuangan yang jauh dan penuh dengan warna-warni. 
Umum mengetahui dunia dalam tahun 1970an dan 1980an dengan dunia dalam permulaan abad ke 21 banyak mengalami perubahan.  Selaku pemimpin politik, Anwar terpaksa mengharungi dunia realiti.  Segala permasalahan masyarakat majmuk negara dan permasalahan dunia perlu ditangani secara realistik mengikut keadaan setempat dan masa. 

Kertas kerja beliau di LSE, London tentang Pluralisme agama adalah salah satu daripada tulisannya yang cuba menangani persoalan masyarakat majmuk dan pembangunan masyarakat manusia dengan berpandukan kepada realiti dalam masyarakat itu sendiri.  Aspek keagamaan dan keIslaman ada disentuh di sana sini akan tetapi tidaklah pula sampai beliau memberi penumpuan kepada aspek doktrins (maksud doktrins di sini ialah aspek aspek keagamaan yang mendalam khususnya mengenai persoalan tauhid dan aqidah) itu sendiri.  Sebaliknya Ustaz Muhammad Uthman EL Muhammady seorang cendiakawan Islam mengkritik tulisan Anwar tadi tertumpu kepada aspek doktrins Islam. 

Melihat kepada permasalahan kehidupan ummah dan pergolakan dunia kini tajuk Pluralisme agama sangat releven dibincangkan demi untuk mencari penyelesaian kepada persoalan-persoalan dalam masyarakat.  Umumnya umat Islam berada dalam keadaan dilema di antara mengejar kehidupan di dunia dengan harapan untuk mendapat kebaikan hidup di akhirat nanti. 

Dilema ini wujud justeru kerana wujudnya konflik dan pertentangan yang nyata antara realiti sistem dan nilai hidup dunia yang mencakup spektrum politik, ekonomi dan sosial yang jelas dengan nilai-nilai moral dan etika Islam dalam pengajaran dan tulisan kitab oleh ulama-ulama. Dilema juga wujud apabila umat Islam hidup dalam masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbagai bangsa dan berbagai penganut agama.
Dilema ini bertambah buruk lagi apabila ‘steering’ kenderaan pembangunan dunia dipandu oleh gerakan dan permainan kuasa rakus politik dan ekonomi yang penuh dengan helah, fitnah dan penipuan demi kuasa.  Akibatnya ramai manusia yang baik dan komited kepada nilai etika yang luhur tadi akan tercicir daripada segala mekanisma kearah dunia kuasa. 
Dalam pada itu ada juga yang menonjolkan diri mereka cenderung dan komited kepada nilai-nilai etika yang tinggi apabila timbul masalah peribadi dan keluarga cuba rasionalisasikan helah permainan kuasa hegemenisma rakus tadi dengan agama demi habuan dunia dan kedudukan dalam masyarakat.

Dilema dilema ini sudah tentu melemahkan jiwa ummah dan menyebabkan ummah tidak berkeupayaan untuk menghadapi arus globalisasi yang kuat melanda dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Sedangkan sebaliknya pula ulama-ulama menyatakan Islam agama universal, agama yang mempunyai formula untuk menyelesaikan masalah masyarakat majmuk.  Kita juga menyatakan Islam agama praktikal yang menganjurkan pembangunan dunia dan seterusnya membawa kebaikan hidup di akhirat nanti.

Di dalam sejarah, kita lihat Rasulullah S.A.W. menjadi pemimpin yang berjaya dalam sebuah masyarakat majmuk yang ‘multi religious’.  Seterusnya dalam sejarah, kita juga lihat munculnya zaman keagungan ilmu di Kota Baghdad dan di Andalus Spain yang mana masyarakatnya majmuk.  Sejarah menunjukkan bahawa Islam zaman keagungan Baghdad dan Andalus Spain menjadi pencetus utama kepada wujudnya era kebangkitan tamaddun dunia, khususnya Tamaddun Eropah.  Daripada kedua-dua kehebatan pusat tamadun Islam inilah kemudiannya bangkit Tamaddun Eropah iaitu zaman Renaissance mulai abad ke 15.

Memang menjadi kewajipan sarjana-sarjana Islam mencungkil dan menimbulkan kembali ‘world view’ Islam yang tersimpan dalam Al-Quran dan Al-Sunnah demi menghadapi dan menangani kemelut dunia palsu ini.  Seterusnya ‘world view’ yang murni ini hendaklah dihidangkan kepada masyarakat dalam kontek dan realiti kini demi pembangunan ummah dan kesejahteraan hidup masyarakat dunia kini. 
Persoalannya apakah halangan-halangan kearah mencungkil rahsia Al-Quran dan Al-Sunnah?  Apakah ‘world view’ yang tersimpan ini sukar hendak dicungkil dan dikemukakan kepada masyarakat dunia kini?  Pada saya, timbul permasalahan ini ialah kerana kekaburan dan kekusutan ummah tentang persoalan metodologi dan persepsi ke arah kembali kepada kedua-dua sumber asli Islam ini.  Justeru kerana itu ulama-ulama besar dahulu banyak dalam tulisan-tulisanya menekankan kepada soal-soal metodologi ini.

Shah Waliullah Al Dihlawi (1703 – 1762), dalam tulisannya yang banyak itu ada menekankan hal ini.  Sebagai contoh dapat dilihat kepada kandungan kitab-kitab karangan beliau dalam Al Fauzul Kabir Fi Usu lli tafsir dan Hujatullah Ul Balighah.

Sesungguhnya jiwa Al-Quran dan Al-Sunnah menganjurkan pengajaran yang universal, menganjurkan ke arah pembangunan ilmu, ke arah kebenaran dan keadilan ekonomi dan sosial, ke arah dunia yang aman dan sejahtera, ke arah kebajikan hidup, ke arah pembangunan manusia dan material, ke arah jiwa tolak ansur demi untuk hidup bersama (tidak termasuk prinsip Tauhid dan Aqidah) dan prinsip hidup berkasih sayang sesama manusia demi kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat nanti.  Atas dasar prinsip demikian fungsi Al-Quran di samping memastikan banyak kepalsuan kepalsuan yang terdapat dalam kitab kitab Illahi sebelum, Al-Quran juga memastikan masih ada lagi unsur unsur kebenaran dalam kitab kitab Illahi tadi.  Unsur unsur yang benar yang masih terdapat dalam kitab kitab Illahi sebelum ini pada jiwa dan rohnya bersamaan dengan pengajaran Al-Quran itu sendiri.  Seterusnya turunnya Al-Quran juga fungsinya untuk menyempurnakan kesemua ajaran-ajaran sebelum dan menjadi panduan kepada kehidupan kesemua manusia hingga akhir zaman.  Justeru kerana itu Al-Quran mengajak kesemua ahli-ahli kitab untuk hidup bersama di dunia dengan menghormati batasan-batasan dalam budaya dan pegangan masyarakat masing-masing.  Kesemua penganjuran Al-Quran ini hendaklah direalisasikan dalam kehidupan masyarakat manusia dengan menghitungkan pula suasana ruang dan masa.  Berdasarkan kepada prinsip prinsip inilah saya akan menganalisa komentar Ustaz Muhammad Uthman terhadap tulisan Anwar dan tulisan Anwar itu sendiri sebagaimana seterusnya.

1.         Beberapa kenyataan Ustaz Uthman yang meleset

Kenyataan Ustaz Uthman bahawa Anwar berpegang kepada konsep kenisbian dan tergolong kepada mazhab John Hick adalah suatu kenyataan dan tuduhan yang terlalu jauh dan keterlaluan.  Apatah lagi apabila beliau sampai ke tahap menyatakan kebimbangannya Anwar mungkin terjerumus ke dalam lubuk egnostik.  Secara ringkas apa yang dikatakan Anwar ialah perpecahan wujud dalam masyarakat dunia justeru kerana ‘religious rigidity’.  Perpecahan bukan sahaja wujud di antara sesuatu penganut agama dengan penganut agama yang lain.  Malah penyakit yang sama juga membawa perpecahan dan peperangan di kalangan penganut penganut di dalam satu-satu agama itu sendiri.  Umpama dikalangan umat Islam perpecahan dan perkelahian wujud di antara pengikut Sunni, Syiah dan puak-puak sufi.  Fenomena perpecahan juga kata Anwar wujud dikalangan umat Kristian.  Malah kata Anwar seterusnya dalam masyarakat Kristian di barat juga wujud pertentangan dan konflik untuk mendapat kuasa antara golongan “Lord Temperol” dan “Lord Spiritual” (golongan yang memerintah dengan golongan agama Kristian).  Seterusnya Anwar cuba menggambarkan fenomena-fenomena dalam masyarakat kebebasan agama dan dalam masyarakat Pluralisme agama.  Dalam masyarakat kebebasan agama di mana perlembagaan Negara yang demokratik menjadi panduan, selalunya dalam Negara demikian tendensi pemerintah akan memihak kepada satu-satu agama tertentu.  Pegangan demikian kata beliau bercanggah dengan semangat Pluralisme agama.  Fenomena demikian juga wujud di negara-negara Eropah yang mengamalkan konsep demokrasi yang tinggi dan juga lumrah di Timur Tengah dan di Asia Tenggara.  Seterusnya dapat dilihat kepada kata-kata beliau sendiri yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagaimana berikut:
“Saya percaya bahawa saya bukan keseorangan dalam membuat kenyataan bahawa untuk pluralisme agama berkembang subur dalam dunia yang terbahagi-bahagi sifatnya ini, maka adalah perkara yang tidak boleh diterima dari segi moral untuk seseorang itu berkata kepada orang lain yang mempunyai sistem kepercayaan lain daripadanya:
Kami beriman kepada Tuhan kami dan kami percaya kami benar, anda percaya kepada Tuhan anda, tetapi apa yang anda percaya adalah tidak benar.”

Nyata pada saya Anwar banyak memberi penumpuan kepada fenomena-fenomena yang berlaku dalam masyarakat dunia.  Beliau cuma memberi komen dan tidak menampak membuat sesuatu pendirian tertentu yang muktamad dalam hal ini.  Tendensi beliau ke arah menyokong Pluralisme agama sebagai formula masyarakat atas dasar sekiranya dibandingkan dengan masyarakat yang mengalami kebebasan agama.  Dalam hal ini beliau tidak menyentuh secara mendalam tentang pendekatan dan formula Al-Quran dan Al-Sunnah dalam menangani hal ini.  Walau bagaimana pun beliau ada memberi kredit kepada ulama-ulama yang diistilahkan beliau ulama-ulama klasik (ulama peringkat awal dahulu) dalam membuat pendirian berhubung dengan hal ini.  Pada beliau sikap ulama-ulama klasik ini terbuka (tidak rigid) dan menghendaki ummah bertoleransi hidup dalam masyarakat yang terdiri daripada berbagai agama.  Menariknya lagi Anwar dalam tulisan itu ada memberi penuh harapan agar melalui tulisan-tulisan ulama-ulama klasik dapat kata beliau, “Penemuan semula garapan terhadap Pluralisme yang asal dalam Islam sangat-sangat diperlukan”.

Apakah dengan pendirian demikian layak dan adil untuk kita golongkan beliau dalam kumpulan orang-orang yang berpegang kepada konsep kenisbian?  Apatah lagi pula apabila Ustaz Uthman cuba memberi implikasi bimbang nanti Anwar akan terjerumus ke dalam lubuk egnostik.  Saya nampak Ustaz Uthman pergi terlalu jauh sehingga sanggup membuat tuduhan yang meleset.  Saya tertanya-tanya pada diri sendiri kenapa Ustaz Uthman sampai ke tahap ini membuat tuduhan dan andaian terhadap Anwar?

2.         Soal keimanan dan agama ‘Salvation’

Memang tepat Islam yang diajarkan oleh Al-Quran ialah Islam yang datang dalam pusingan terakhir dan sesuai hingga akhir zaman.  Manakala ajaran nabi-nabi sebelum dengan tersendiri selepas kebangkitan Rasulullah S.A.W. dari segi keimanan sudah tidak lagi berkeupayaan untuk menjadi formula kepada masalah perkembangan hidup masyarakat dunia.  Berpandukan kepada sebuah risalah yang berjudul MUQADDIMAH TAKWIL AL-QURANUL HAKIM yang ditulis oleh Haji Nik Mohd Salleh Hj. Wan Musa.  Ini tidaklah pula bermakna penganut-penganut ajaran nabi-nabi ini seterusnya sudah tidak lagi mempunyai beberapa prinsip keimanan.  Unsur-unsur keimanan masih ada lagi dalam pegangan orang-orang tertentu dikalangan mereka cuma sifat keimanan itu tidak lengkap dan sempurna.  Justeru kerana itu sifat-sifat keimanan yang ada dalam pengajaran kitab-kitab Illahi ini sudah tidak berkeupayaan lagi untuk menghadapi perkembangan dunia selepas zaman Rasulullah S.A.W.  Oleh yang demikian Rasulullah S.A.W. dalam strategi dakwahnya kepada penganut-penganut ajaran Nabi-nabi ini tertumpu kepada pendekatan membinakan prinsip keimanan yang lengkap dalam Al-Quran berasaskan kepada unsur unsur keimanan yang masih lagi ada pada mereka.  Pendekatan dakwah Rasulullah S.A.W. ini dibuat berasaskan kepada surah Al Imran ayat 64 yang membawa erti, “katakanlah (wahai Muhammad) wahai ahli kitab, marilah kita bersama-sama dalam satu pengajaran yang sama antara kami dan kamu; iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak sekutukan dengan sesuatu jua pun, dan janganlah sebahagian kita mengambil sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah.  Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang Islam”.

Di dalam surah As-Saf ayat 9 pula Allah S.W.T. berfirman yang membawa erti, “Dialah Tuhan yang mengutuskan rasul-Nya dengan petunjuk dan agama yang benar supaya dia melahirkannya di atas semua agama seluruhnya walaupun dibenci oleh kaum yang musyrik.”

Oleh yang demikianlah apabila Rasulullah S.A.W. berjaya membina sebuah masyarakat dan negara Madinah di bawah prinsip ‘Piagam Madinah’ berasaskan kepada konsep hidup bersama di antara orang-orang Islam, orang-orang Yahudi dan Kristian,  Rasulullah S.A.W. di dalam rangka dakwahnya menghantar pula surat kepada pemerintah di seluruh dunia pada masa itu iaitu negara Rom, Parsi, Habshah, Gabenor Rom di Mesir, Yamamah, Ghashan, Bahrin dan Julanda.  Kesemua surat-surat yang dihantar oleh Rasulullah S.A.W. di sertai dengan firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Imran ayat 64 tadi, kecuali kepada maharaja Parsi (Kisra).  Berasaskan kepada fakta-fakta ini dapat dilihat bahawa pendekatan dakwah Rasullullah S.A.W. ialah dengan mengajak pemerintah-pemerintah dan penganut-penganut ajaran Nabi-nabi sebelum untuk bersama di atas unsur-unsur persamaan yang sudah ada.  Nyata pendekatan praktikalnya bukan dengan menolak pengajaran Nabi-nabi sebelum secara 100%. Menyentuh tentang soal agama Salvation (ertinya Dontrins tentang ketuhanan dan keselamatan di akhirat nanti).  Risalah yang berjudul MUQADDIMAH TAKWIL AL-QURANUL HAKIM ini memetik pula surah Al-Baqarah ayat 62 yang membawa erti, “sesungguhnya mereka yang beriman kepada Nabi S.A.W. dan mereka yang beriman kepada Musa menjadi Yahudi, mereka yang beriman kepada Isa menjadi Nasara dan mereka yang beriman kepada para Nabi Sabiin yang dahulu kala, sesiapa yang benar-benar beriman dengan Allah (Al-Quran) dan hari akhirat serta membuat amalan-amalan yang baik; maka tiada kebimbangan ke atas mereka dan tidak pula mereka merasa runsing”.

Berasaskan kepada ayat ini pengarang risalah ini berpendirian bahawa wujudnya orang-orang yang beriman di kalangan pengikut-pengikut kitab-kitab Illahi sebelum.  Mereka yang beriman ini akan selamat di akhirat nanti.  Memang ramai pula ulama-ulama yang tidak akan bersetuju dengan pendirian yang demikian, akan tetapi pada penulis penting surah Al-Baqarah ayat 62 ini dibincang dan dimuzakarah oleh ulama-ulama yang benar-benar otoritas dalam memahami pendekatan dan metodologi tafsir demi untuk kita membuat suatu kepastian yang tepat.  Melihat kepada realiti lahir hakikat sejarah dan masyarakat dunia, kita dapati dalam tiap-tiap bangsa dan penganut ada terdapat manusia-manusia yang baik dari segi akhlak dan moralnya secara komprehensif.  Cuma yang berbeza ialah dari segi jumlahnya.  Apakah ini suatu refleksi daripada unsur-unsur keimanan yang masih ada tadi?  Rasulullah S.A.W. pula kita lihat berasaskan kepada realiti mesyarakat Madinah pada masa itu mengajak penganut agama Yahudi dan penganut Kristian untuk hidup bersama-sama di bawah Piagam Madinah demi untuk mewujudkan suatu masyarakat yang adil dan harmoni.  Di bawah payung keadilan dan kebenaran inilah ajaran Al-Quran dapat disebarkan secara efektif kepada masyarakat umum.

3.         Syariah dan Fekah

Memang selaku umat yang patuh kepada agama segala langkah dan tindakan kita mestilah hidup melalui saluran Syariah demi keselamatan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.  Demikian juga umat Islam mestilah menghormati dan akur kepada ajaran-ajaran Fekah.  Justeru kerana itu apabila kita hendak memperkatakan kebebasan dhamir dan lain lain kebebasan biarlah kebebasan itu berada dalam konteks ajaran Syara’.  Akan tetapi yang menjadi persoalannya ialah jiwa Syariah dan Fekah yang bagaimana?  Apakah amalan Fekah Syafiiyyah yang menjadi asas tumpuan amalan dan pegangan masyarakat Melayu zaman berzaman kini bertaraf mutlaq?  Memandangkan dunia berkembang dengan pesat dan dunia sudah menuju ke arah ‘Global Village’, apakah Fekah yang menjadi amalan dan pegangan masyarakat kini tidak boleh diislahkan?  Memang ulama-ulama Fekah dahulu banyak memain peranan terutama di kalangan ulama-ulama besar dan Muktabar dalam ilmu ini.  Akan tetapi perkembangan kini banyak memerlukan kepada daya Ijtihad baru lebih-lebih lagi dalam menghadapi era globalisasi kini.  Oleh yang demikian ulama-ulama dalam konteks masyarakat majmuk dan dalam era globalisasi kini hendaklah kembali dengan sendiri kepada Al-Quran dan Al-Sunnah melalui metadologi-metadologi tertentu yang dikemukakan oleh ulama-ulama besar dahulu dan kemudian mengamalkan ijtihad melalui jalan Istinbad.  Dengan metadologi dan pendekatan demikian barulah Fekah yang diambil daripada maksud Al-Quran dan Al-sunnah akan menjadi praktikal, sesuai dan responsif terhadap konteks ruang dan masa.  Dengan sendiri ‘nature’ Fekah demikian akan mampu bertindak sebagai ‘problem solving’ kepada masalah kehidupan masa kini.  Mungkin atas keyakinan inilah juga Anwar ada mengatakan:

“Tetapi Syariat itu bukannya dibentuk pada batu dan ia mengambil evolusi secara dinamis.  Demi untuk menjaga jalan menengah, maka unsur utama dalam metodologi Islam mesti dipandang dalam perspektif yang menyeluruh (holistic) yang akan menjadi menarik mengikut kaedah yang bersifat sejagat dan kekal abadi.”

4.         Dante dan John Hick

Memang Anwar ada memetik pandangan Dante dalam tulisannya itu.  Akan tetapi tidak kesemua pandangan Dante diterimanya.  Di dalam tulisan itu beliau ada mengkrik Dante dengan mengatakan sebagaimana yang di terjemahkan berikut.
“Pandangan Dante tentang keamanan sejagat boleh dicapai hanya bila bangsa-bangsa dunia bersatu dalam satu politi dalam planet ini dengan tidak berbelah bagi.  Sudah tentu ini satu impian utopia.”

Dengan kata-kata Anwar di atas dapat dilihat dengan jelas tentang pendirian Anwar terhadap tokoh Barat ini. 
Memang kita sangat sensitif dan marah kepada Dante apabila beliau meletakkan Rasulullah S.A.W. dan Sayyidina Ali dalam neraka.  Akan tetapi penghinaan Dante terhadap Rasulullah S.A.W. itu tidak ada kena mengena dan berkait dengan tulisan Anwar.  Saya yakin Anwar juga merasai sensitif dan marah kepada Dante sebagaimana kita semua di dalam hal ini.  Tulisan Ustaz Uthman tentang Dante secara senikal boleh mengelirukan pembaca berhubung dengan pendirian Anwar terhadap tokoh barat itu.  Walaupun Ustaz Uthman meletakkan Anwar pendokong aliran John Hick menariknya di dalam tulisan Anwar tidak ada terdapat nama John Hick disentuh.  Kalaulah pandangan Anwar kebetulan bersamaan dengan John Hick dalam hal-hal tertentu ini tidaklah pula bermakna Anwar terjerumus ke dalam mazhab John Hick secara total.

5.         Ahli Sunnah Wal Jamaah Arus Perdana

Memang enak didengar apabila orang memperkatakan istilah ahli Sunnah Wal Jamaah.  Istilah ini memang popular di kalangan ummah.  Umumnya masyarakat Islam melayu berpegang kepada pengajaran ulama-ulama yang mendokong fahaman ahli Sunnah Wal Jamaah yang pada mereka membawa fahaman aqidah yang betul.  Di kalangan ulama-ulama yang mendokong fahaman ini wujud beberapa aliran pendapat.  Memang kewujudan beberapa perbezaan pendapat bukan sepatutnya menjadi masalah dalam Islam.  Akan tetapi apabila ulama sesama ulama sudah sampai ke tahap kafir-mengkafir, maka sudah tentu ia akan menimbulkan masalah dan perpecahan.  Sebagai contoh sejarah telah menunjukkan ulama besar Ibnu Taimiyah ada mengkafirkan ulama besar yang satu lagi Ibnu Al-Arabi atas dasar doktrins wahdatul wujud.  Sejarah juga telah menunjukkan percanggahan yang besar antara ulama-ulama Fekah dengan ulama-ulama Tasawuf.  Demikian juga wujud perkelahian yang besar di kalangan ulama-ulama Tasawuf dan juga di kalangan ulama-ulama Fekah itu sendiri.  Jadi dalam konteks keserabutan demikian bagaimana pula dengan sikap dan pendirian kita kini?  Mungkin juga kerana faktor demikian ada ulama-ulama yang mengatakan sebenarnya ahli Sunnah Wal Jamaah ialah terdiri daripada para sahabat Rasulullah S.A.W. itu sendiri sahaja.  Bagi penulis risalah MUQADDIMAH TAKWIL AL QURANUL HAKIM, selain daripada sumber Al-Quran dan Al-Hadith penting kita menghitung pandangan ulama-ulama ahli Sunnah Wal Jamaah yang terbilang terutama ulama-ulama Mutakhadimin (ulama-ulama sebelum abad ke 13) yang mempunyai otoritas dalam bidang-bidang tertentu demi membantu kita dalam memahami kedua-dua sumber Islam tadi.  Dalam konteks ini apakah tulisan Anwar yang menyeru kita kembali kepada ulama-ulama klasik dahulu bercanggah dengan jiwa maksud ini?  Sila lihat petikan tulisan Anwar yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebagaimana di bawah ini:
“Adalah malang sekali bahawa setengah daripada kebijaksanaan-kebijaksanaan, kesarjanaan klasik Islam dilupai.  Dari segi ideologinya sikap beku dalam pemikiran (rigidity) masih berupa penghalang kepada kemajuan dan Islah”

6.         Jiwa Bush

Seterusnya saya ingin menarik perhatian pembaca tentang George W. Bush (bekas Presiden Amerika sebelum Obama).  Memang Anwar hanya sentuh namanya dalam tulisan ini sekali sahaja.  Bagi Anwar, Bush “mengamalkan sifat percanggahan yang memilih bulu dalam memerangi keganasan dengan memberi sokongan kepada para otokrat di dunia Islam di satu pihak dan menjadi jaguh kebebasan dan demokrasi di satu pihak lain pula”.  Inilah amalan ‘double standard’ dan hipokrasi Bush Amerika. Sesungguhnya amalan demikian juga dari segi jiwa, wujud di mana-mana sahaja di dunia ini di kalangan golongan-golongan yang berkuasa. Jiwa amalan demikian wujud di kalangan yang berkuasa di dunia antarabangsa, di dalam negara bangsa, di kota raya dan di desa.  Sikap demikian adalah lumrah di kalangan golongan hegemoni rakus justeru kerana ghairah kepada kuasa dan untuk mempertahankan kuasa.  Selalunya golongan ini menggunakan suatu mekanisma dengan suatu istilah yang dinamakan oleh beberapa kalangan tertentu sebagai oligarki.  Maksud oligaki ini dari segi jiwanya ialah suatu persepakatan antara jiwa Firaun (jiwa politik rakus dan zalim), jiwa Haman (jiwa yang mempertopengkan agama) dan jiwa Qarun (jiwa orang yang kaya raya yang tamak, bongkak dan penindas).  Persepakatan antara ketiga-tiga golongan ini wujud atas dasar ‘Marriage of convineance’ dengan sokongan media massa dan media hiburan, seterusnya bermaharajalela menguasai dan menakluki pemikiran masyarakat dunia demi kuasa politik, ekonomi dan sosial.  Rejim Bush Amerika nampak banyak mempunyai ciri-ciri ini, manakala Obama cuba mengurangkan ciri-ciri ini.  Sesungguhnya jiwa dan bentuk oligarki ini wujud di mana-mana dalam dunia ini baik dalam sejarah, mahupun kini, sama ada di peringkat antarabangsa, negara bangsa, di bandar-bandar dan di kampung-kampung.  Antara kumpulan-kumpulan oligarki  ini dari segi bentuknya bersifat relatif mengikut keadaan dan suasana. Juga tidak mustahil antara kumpulan-kumpulan ini saling bertentangan di antara satu sama lain atas dasar kepentingan-kepentingan tertentu walaupun mereka bersamaan dari segi jiwa. Selalunya jiwa oligarki ini hidup subur dalam masyarakat yang kuat dengan sifat Assabiyah, Kaumiyah dan nilai-nilai saikologikal feudalisma. Kebangkitan Rasullullah S.A.W. di Mekah dan seterusnya di Madinah demi untuk menegakkan jiwa dan pemikiran masyarakat yang bertauhid memberi fokus utama kearah menentang golongan ini atas dasar untuk mewujudkan kehidupan masyarakat yang adil, sejahtera, berilmu, berkebajikan, berkasih-sayang di dunia secara total dan seterusnya membawa kebaikan hidup di akhirat kelak.  Oleh yang demikian, selaku ahli politik atau pun cendiakawan kita hendaklah menganalisa dan bijak memilih haluan dan jangan sekali-kali cepat terpedaya sama ada menyokong atau menentang tentang sesuatu perkara.  Kalau tidak nanti kita akan terjerat dan terperangkap dalam permainan sepak terajang kumpulan hegemonisma ini.  Ekoran daripada mendokong ‘world view’ demikian dan demi untuk mengelak masyarakat dunia daripada terperangkap kepada jiwa kumpulan demikian Anwar mengkritik penulis-penulis yang mempropagandakan slogan bahawa “Clash of Civilization” yang membawa kepada faktor perpecahan masyarakat dunia.  Pada Anwar faktor yang besar yang membawa perpecahan masyarat dunia ialah apabila wujudnya pertentangan ‘world view’ dalam sesuatu tamadun dan budaya itu sendiri. Perpecahan ini timbul kata Anwar justeru kerana wujud pertembungan “antara yang lama dan yang baru, yang lemah dan yang kuat, yang sederhana dan yang fundamentalist dan antara yang modernis dan yang traditionalis”.

Kembali kepada tajuk pokok apa yang dipolimik oleh Ustaz Uthman terhadap tulisan Anwar iaitu tentang Pluralisma agama saya ingin mengajukan beberapa pandangan di bawah ini. Umumnya mendefinasikan Pluralisma agama membawa erti kepada wujudnya pelbagai penganut agama dalam sebuah masyarakat dan negara.  Taraf dan status kedudukan agama dalam masyarakat Pluralisma agama itu sama.  Adalah menjadi satu kesalahan bagi umat Islam yang berimankan kepada Al-Quran menerima dan akur dalam jiwanya bahawa kehidupan masyarakat Pluralisma agama sebagai satu matlamat.  Kalaulah dirujuk kepada risalah MUQADDIMAH TAKWIL AL-QURANUL HAKIM, Rasulullah S.A.W. diutuskan untuk membawa dua perkara kepada masyarakat dunia,
i)                 Membawa hidayah Al-Quran kepada kesemua manusia di dunia ini.
ii)               Menubuh dan membina Din nul Haq (keadilan sejati) dalam konteks masyarakat dan negara.

Penyebaran hidayah Al-Quran hendaklah disampaikan kepada kesemua anggota masyarakat secara berhikmah dan lemah lembut berasaskan kepada prinsip fitrah (human nature). Manakala penubuhan dan pembinaan Din nul Haq yang membawa erti kepada konsep hidup bersama dalam berbagai agama dalam suatu masyarakat dan negara dengan bertujuan untuk membawa keadilan sejati dalam masyarakat.  Di bawah pemerintahan Din nul Haq pihak pemerintah boleh melakukan kekerasan jika perlu demi mempertahankan keutuhan Din nul Haq bagi menegakkan keadilan kepada kesemua anggota masyarakat berasaskan kepada konsep kemanusiaan yang satu.  Di bawah Din nul Haq juga tiap-tiap penganut agama bebas menjalankan upacara agama dengan syarat mereka kesemuanya mesti setia kepada konsep Din nul Haq  yang menjamin keselamatan, keadilan, kebahagiaan dan kebajikan kepada kesemua anggota masyarakatnya. Prinsip hidup bersama ini dibina di atas dasar hormat menghormati walaupun dalam beberapa hal berbeza dari segi rupa undang-undang, bentuk ibadah dan upacara-upacara keagamaan dan budaya.  Sudah tentu dalam kehidupan masyarakat yang terdiri daripada berbagai penganut agama ini akan wujud orang-orang mukmin, kafir dan munafik.  Justeru kerana realiti masyarakat demikian maka pihak pemerintah yang berada dalam badan Hizbullah (dalam zaman Rasulullah S.A.W. badan ini  dipengerusi oleh Rasulullah S.A.W. sendiri dan di anggotai oleh wakil-wakil daripada agama masing-masing), berfungsi untuk merangka undang-undang dan peraturan secara musyawarah dan kemudiannya melaksanakan keputusannya dalam masyarakat. Atas dasar mempertahankan kelangsungan Din nul Haq ini umat Islam dikehendaki berkorban dan berjihad bila perlu.  Al-Quran menghendaki setiap anggota masyarakat dan negara Din nul Haq mesti mengenepikan kepentingan diri apabila kepentingan kepentingan itu bertembung dengan kepentingan umum. 

Firman Allah S.W.T. dalam surah At-Taubah ayat 111
“Ertinya: Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang beriman jiwa mereka dan harta benda mereka dengan balasan bahawa mereka akan memperolehi syurga supaya mereka berjuang di jalan Allah maka mereka membunuh dan terbunuh dengan janji yang benar dalam Taurat dan Injil dan Al-Quran.  Dan siapakah yang lebih menyempurnakan janji daripada Allah?  Oleh itu bergembiralah dengan jalan yang kamu jual beli dengannya.  Itulah kemenangan yang amat besar”.
Dan firman Allah S.W.T. dalam surah At-Taubah ayat 24
“Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad) jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan isteri-isteri kamu (atau suami-suami) dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah kediaman yang kamu suka (jika semua itu) menjadi perkara yang kamu sayang lebih daripada (pengajaran Allah dan pengajaran Rasul) dan berjihad di jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan balasanNya, Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.”

Di atas prinsip untuk mempertahankan Din nul Haq ini kata penulis risalah ini, Islam tidak menghendaki umatnya bersikap “Ruhban” ataupun hidup semata-mata secara kesamian.  Demi untuk mewujudkan perpaduan hakiki, Al-Quran kata penulis risalah ini lagi menyatukan kesemua falsafah Millah-millah berasaskan kepada Syariat Hanafiyah.  Penyatuan ini boleh wujud di atas prinsip-prinsip di bawah ini.
  1. Sekata tentang keesaan Allah S.W.T. (tauhid) dan kesucianNya dari segala kekurangan serta bersifat dengan kepujian kesempurnaan.
  2. Sekata tentang menjauhi semua jenis dan bentuk syirik dalam amal ibadat, memohon pertolongan, zikir, sembelihan haiwan, nazar, sumpah dan menyucikan dari sifat beranak, beristeri, lupa, lalai, lemah, jahil, bakhil dan zalim.
  3. Sekata tentang perlu menyucikan semua nama Allah dari sesuatu yang boleh memahamkan kekurangan atau kecacatan.
  4. Sekata tentang tidak harus membicara bagaimana Allah S.W.T. bersifat dengan semua kesempurnaan yang sabit padaNya dan setiap orang mengakui sabit semua mafhum nama-nama itu pada zat Allah S.W.T. sahaja dengan semangat tidak menyerupaiNya sesuatu pun.
  5. Sekata tentang mengakui perutusan atas risalah yang dibawa oleh semua Rasul daripada Allah S.W.T. dan mengakui kitab-kitab yang diturunkan melalui mereka dan mengakui adanya malaikat dan perlu menyucikan mereka dari segala kejahatan dan beradab sopan dengan mereka dan mengakui adanya hari Hisab amalan (Yaumil akhir) dan janji-janji yang dikhabarkan Allah kepada manusia tentang negeri Akhirat kelak.
  6. Sekata tentang perlunya mengakui segala perkara pengurusan yang pasti dilakukan untuk menjaga kepentingan Millah Hanifiah dan menegaskan asas-asasnya.
Berasaskan kepada perpaduan dan keadilan kehidupan ini, Rasulullah S.A.W. selaku pengerusi badan Hisbullah akan mengetuai suatu gerakan dakwah dalam berbagai bentuk pendekatan demi membawa risalah Al-Quran (hidayah) kepada orang-orang Kristian dan Yahudi di atas asas unsur-unsur yang benar yang masih ada dalam pengajaran kitab-kitab Nabi-nabi mereka.

Memang kalau dilihat pengertian Pluralisma agama dan pengertian Din nul Haq walaupun masih ada unsur-unsur persamaan akan tetapi dari segi jiwa matlamatnya jauh berbeza.  Meletakkan pengajaran Al-Quran setaraf dengan pengajaran kitab-kitab Illahi sebelum sangat-sangat tidak tepat.  Al-Quran turun ke bumi melalui Rasulullah S.A.W dalam pusingan terakhir demi untuk

1)     Mengesahkan kitab-kitab Illahi sebelum
2)     Mentashihkan unsur-unsur penyelewengan kitab-kitab tadi justeru kerana korupsi dan manipulasi sejarah
3)     Menyempurnakan ajaran-ajaran kitab kitab Ilahi sebelum, demi untuk menjadi formula kepada kehidupan masyarakat manusia hingga akhir zaman.

Dalam pengertian ringkas fungsi Al-Quran ialah untuk ‘confirm’ dan ‘superseed’ kitab-kitab Illahi sebelum.  Tulisan Anwar yang dibentangkan di LSE. dalam suasana masyarakat London (yang mana umat Islam tidak dominan, ditambah lagi dengan penyakit psikologi Islamophobia di Eropah), kalaulah dilihat didalam konteks hikmah adalah merupakan sesuatu yang positif.  Setidak-tidaknya dalam realiti masyarakat Eropah kini biarlah terlebih dahulu status umat Islam berada di paras yang sama dengan masyarakat lain di Barat terutama orang-orang Kristian.  Kewujudan masyarakat Pluralisma agama di Barat kalaulah dilihat secara positif boleh menjadi platform bagi umat Islam untuk mengenengahkan ajaran Al-Quran dan Al-Sunnah secara ilmiah sebagai yang paling agung dengan lebih efektif demi untuk menyelesaikan masalah kehidupan masyarakat Eropah kini.  Justeru kerana itu umat Islam termasuk di Malaysia hendaklah bersifat terbuka dan bersedia untuk ‘accomadate’ segala perkembangan ilmu dan kemudian bersifat kritikal secara berhemah dan berhikmah kepada fenomena-fenomena kini yang terang-terang dan yang tersirat bercanggah dengan jiwa Al-Quran dan Al-Sunnah. 

Umat Islam mestilah ingat mulai peristiwa konflik dan peperangan puak puak saidina Ali dan puak puak Muawiyyah elemen elemen negatif dalam pengajaran Islam mulai wujud. Elemen elemen ini bertambah tambah lagi masuk dalam minda dan ‘world view’ ummah selepas kejatuhan kota Baghdad (1258 AD) dan seterusnya kejatuhan Andalusia (Spain 1492AD). Keadaan demikian wujud apabila ‘world view’ ummah telah berjaya dicemari oleh korupsi dan manipulasi golongan hegemoni yang terdiri dari pada kalangan pihak pihak berkuasa Umat Islam itu sendiri. Seterusnya penularan pengaruh luar yang  negatif khususnya daripada kuasa kuasa hegemoni barat menambahkan lagi porak peranda minda ummah sehingga kemudiannya wujud kelesuan minda yang juga boleh diistilahkan sebagai ‘the captive mind’ atau orang orang yang terjajah  pemikirannya. Kewujudan pusat pusat pengajian Islam di seluruh dunia banyak berdiri di atas paradigma yang haru biru demikian.  Justru kerana itu adalah menjadi tanggung jawab pemerintah pemerintah dunia Islam dan ummah untuk mengislahkan pengajaran Islam supaya kemurnian ajarannya dalam zaman keagungan silam dapat dikembalikan demi kebaikan dan kesejahteraan dunia.

Dalam realiti hidup kini amalan untuk hidup bersendiri dan secara eksklusif daripada etnik etnik yang berbeza dan penganut penganut agama lain walaupun dalam soal soal keagamaan adalah tidak  praktikal dan berhikmah. Mau tidak mahu dalam kehidupan bersama ini banyak pegangan dan nilai nilai hidup seseorang anggota masyarakat itu akan menyentuh nilai hidup etnik etnik dan penganut penganut agama yang berbeza. Berpandukan kepada ‘nature’  pengajaran Al Quran yang menganjurkan suatu formula hidup bersama kepada masyarakat dunia dan selaku pengajaran Ilahi yang ‘superseed’ kesemua ajaran kitab kitab  sebelum saya tidak nampak kenapa persoalan ‘interfaith’ dan forum antara agama agama di Malaysia tidak digalakkan diadakan di negara kita. Memang tidak dapat dinafikan persoalan bagaimana forum itu hendak diadakan perlu dibincangkan terlebih dahulu demi menjaga akidah Islamiah dan sensitiviti penganut agama masing masing. Akan tetapi forum yang bersifat demikian sepatutnya menjadi salah satu keutamaan demi untuk membolehkan umat Islam yang berilmu menyampaikan  mesej dakwah Al Quran dan Al Sunnah kepada pnganut penganut agama lain. Secara tidak langsung  forum demikian juga sekiranya dikendalikan secara jujur dan positif boleh membina kearah negara bangsa Malaysia. Dalam kontak demikian umat Islam hendaklah berilmu bersikap terbuka dan bersedia menangani segala perubahan dunia dalam semua lapangan. Yang membimbangkan kta ialah d ibawah arus globalisasi yang semakin kuat melanda kini dengan hakikat ‘steering’ kenderaan dunia dipandu oleh puak puak hegemoni rakus dengan sokongan teknologi dan media massa yang canggih, umat Islam tanpa penghayatan Ilmu Al Quran dan Al Sunnah yang tulin akan ditelan dan tertelan secara langsung dan tidak langsung oleh nilai nilai global yang negatif yang datang dicelah celah pemikiran dan perkembangan politik, ekonomi, pendidian dan sosial yang canggih. Tanpa penghayatan jiwa Al Quran dan Al Sunnah sudah tentu masyarakat Islam tidak mampu dan berkeupayaan untuk mencabar kekuatan arus dunia yang melanda nanti. Oleh yang demikian seruan ulamak ulamak Islah supaya kita kembali kepada Al Quran dan Al Sunnah melalui metodologi metodologi ulama besar terutama ulamak ulamak mutakhadimin sebelum, hendaklah kita renung renungkan bersama secara jujur.

Read more...

  © Blogger templates Newspaper II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP